CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Popular Posts

Monday 10 October 2011

RAJIN BERUSAHA

Di Kampung Sentosa, terdapat beberapa buah rumah kampung Pak Bulat dan isterinya bernama Mak Manis tinggal di kg  tersebut. Mereka berdua mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Dogol.Dogol baru berusia enam tahun. Namun begitu, Dogol ialah seorang budak lelaki yang nakal dan malas. Dia suka melawan suruhan ibunya. Jika ibunya menyuruh Dogol pergi mengaji dengan imam di kampung itu, macam-macam alasan yang akan Dogol berikan kepada ibunya.
“ Ibu, Dogol sakit gigilah”, kata Dogol sambil menunjukkan giginya yang kuning tidak bergosok beberapa hari itu.
Pada hari yang lain, lain pula alasan yang akan Dogol berikan kepada ibunya.
“ Ibu, Dogol sakit perutlah”, kata Dogol sambil menunjukkan perutnya yang bulat penuh dengan cacing itu.
Setiap pagi juga Dogol susah hendak bangun dari tidur untuk pergi ke sekolah tadika di kampungnya. Setelah puas ibunya mengejut, barulah Dogol bangun sambil mengesat-ngesat matanya yang sepet dipenuhi tahi mata basah. Dogol mempunyai dua orang kawan baik yang bernama Daniel Kaw dan Subra Cuba. Mereka bertiga selalu bermain bersama. Kadang-kala mereka bertiga akan pergi ke sekolah tadika, tetapi biasanya mereka tidak sampaipun ke sekolah. Mereka bertiga akan melencong ke tempat lain. Mereka bertiga suka mandi-manda dan berendam di dalam Sungai Pahang. Mereka berenang dan bermain kejar-kejar di dalam air sungai itu Mereka bertiga malas belajar dan sebab itulah mereka tidak pandai. Cikgu tadika yang bernama Cikgu Normazila selalu memarahi mereka. Apabila tengahari dan setelah puas berenang mereka bertiga cepat-cepat mengenakan semula pakaian seragam tadika dan bergegas pulang ke rumah masing-masing. Seolah-olah baru pulang belajar dari tadika seperti kanak-kanak yang lain.
“ Dogol, macam mana belajar hari ini”? Tanya Mak Manis kepada anak kesayangannya pada waktu makan tengahari.
“Cikgu Normazila mengajar ABC macam semalamlah ibu” jawab Dogol sambil menyuapkan nasi ke mulutnya dengan berselera sekali.
Pada suatu pagi mereka bertiga seperti biasa mandi-manda di tepi sungai Pahang. Tiba-tiba mereka ternampak seekor buaya di tebing sungai Pahang.
“Buaya ! Buaya ! Buaya !” jerit Dogol kepada kawan-kawannya yang lain.
Mereka bertiga amat takut lalu dengan segera naik ke darat dan mengambil baju masing-masing. Mereka berlari dengan sekuat hati dan tanpa disedari mereka bertiga telah berpecah. Daniel Kaw menuju ke sebelah Sanggar Bahasa, Subra menuju ke arah Masjid Ulam Petai Muda dan Dogol pula ke arah Latar Kaswi. Setelah penat berlari akhirnya Dogol berhenti berehat di bawah sebatang pokok yang rendang. Dari bawah pokok itu Dogol dapat melihat seekor labah-labah sedang tekun membuat sarang. Apabila angin bertiup kencang, sarang labah-labah tersebut terkoyak. Namun labah-labah tidak berdiam diri sebaliknya terus gigih berusaha membaiki sarangnya semula. Dogolpun berfikir di dalam hatinya. Jika dia rajin berusaha dan tidak putus asa seperti labah-labah itu, pasti dia akan berjaya di dalam pelajarannya kerana usaha itu tangga kejayaan. Tentu Cikgu Normazila tidak akan memarahinya lagi. Dogol menyesal dengan sikapnya yang malas dan suka menipu ibunya selama ini. Apabila sampai di rumah Dogol segera memeluk ibunya.
” Ibu, maafkan Dogol” kata Dogol dengan linangan air mata. ”Dogol banyak kali menipu ibu, kata Dogol dalam keadaan sedu-sedan.
Mak Manis agak terkejut lalu bertanya kepada Dogol apa sebenarnya yang telah terjadi. Dogolpun menceritakan segalanya kepada Mak Manis. Mak Manis bersyukur dengan pengakuan jujur yang telah dibuat oleh Dogol. Semenjak hari itu Dogol, Daniel Kaw dan Subra Cuba tidak pernah ponteng sekolah lagi. Mereka bertiga telah menjadi murid yang rajin dan berjaya di dalam pelajaran serta menjadi kebanggaan penduduk Kampung Ulam Petai Muda. Pak Bulat dan Mak manis gembira dengan kejayaan anak mereka yang bernama Dogol bin Bulat. Sekian.

No comments:

Post a Comment